Inspektor Farid Terus Mendapat Bantuan


KOTA BAHRU – Kerajaan negeri Terengganu akan terus membantu Inspektor Farid Hasni Mamat, 32, yang putus kaki kanannya akibat dirempuh kereta ketika bertugas pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada Julai lepas.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata bantuan adalah bagi mengenang jasa pegawai polis trafik itu.

“Jasa yang dicurahkannya serta Polis Diraja Malaysia amat besar demi menjaga keamanan terutama pada PRK Kuala Besut,” katanya semasa melawat Farid Hasni di Ibu Pejabat Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (8PGA) di Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Memerintah 8PGA Supt Dahlan Mohd Noor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Batalion 8PGA, Sri Sumarti Abdullah.

Dalam kunjungan kira-kira satu jam itu, Tengku Zaihan menyerahkan sumbangan wang tunai dan hamper kepada Farid Hasni dan keluarganya.

Kemalangan yang menimpa Farid Hasni berlaku apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi, Besut.

Farid Hasni yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu berkata beliau kini menjalani rawatan pemulihan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Buat sementara waktu, saya kena menjalani rawatan fisioterapi sebanyak dua kali seminggu dan akan melaporkan diri untuk bertugas selepas disahkan pulih sepenuhnya oleh doktor.

“Saya baharu keluar daripada HUSM kira-kira sebulan lepas dan 8PGA dengan murah hati menawarkan kepada saya untuk tinggal sementara di kuarters pegawainya sehingga saya pulih sepenuhnya.

“Saya bersyukur walaupun 8PGA berlainan unit, namun atas semangat setiakawan dalam PDRM, mereka terus memberi bantuan. Saya akan meneruskan khidmat saya dengan pasukan keselamatan ini sehingga saya pencen dan ribuan terima kepada pelbagai pihak yang banyak membantu saya dan keluarga selama ini,” katanya.

Farid Hasni memberitahu beliau telah menerima surat arahan untuk berpindah bagi bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di bahagian pengurusan. – BERNAMA

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ramon 's - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger